Friday, 20 April 2018

Kelajuan dan Telematik Dalam Grab

Brek kecemasan. Ianya salah satu usaha untuk mengelak kemalangan dari berlaku. Ia akan terjadi pada salah satu pihak atau kedua-dua belah pihak. Kita bincangkan salah satu pihak dahulu.
Pihak yang membrek kecemasan ada tiga:

1. Yang bersalah. Mereka tersalah kerana cuai dan lalai. Mereka membrek mengejut. Masalah selesai. Kereta yang lain tidak membrek kerana tidak perasan atau dalam zon selamat.

2. Yang cuai. Mereka ini dalam golongan tidak bersalah tetapi cuai. Yang melakukan kesalahan sama ada membrek atau terus perjalanan macam biasa kerana tidak menyedari bahaya. Yang cuai ini kerana pada kebiasaannya tidak menjaga jarak, ikut terlalu rapat, memandu lebih had laju di kawasan yang ada had laju, tersalah lorong memandu, di kawasan persimpangan tanpa lampu isyarat, di selekoh buta, di titik buta pada cermin sisi dan seumpamanya.

3. Yang tidak bersalah. Mereka menjadi mangsa kepada pemandu yang cuai,di bawah pengaruh dadah dan alkohol, mengantuk, memandu lebih had laju, kanak-kanak melintas mengejut dan seumpamanya.

Dalam masalah brek mengejut ini, Grab sangat perihatin kerana ia melibatkan pelanggannya. Saya sendiri pernah dihukum beberapa bintang sahaja kerana membrek secara mengejut. Dalam hati, mula risau pasal penilaian pemandu. Sahih kerana selepas itu, memang turun secara drastik bintang tersebut.

Walaupun adakalanya keegoan kita menafikan kesalahan kita, tapi cuba renung kembali, adakah kita betul-betul suci? Kalau masih tak boleh renung, bayangkan kita pula menjadi penumpang, adakah kita boleh bersikap rasional? Akhirnya.. kita akan memperbaiki pemanduan kita ke arah yang lebih baik. Fikir positif dahulu.

Demikian juga kelajuan mengejut ala-ala formula one atau drift. Ia juga menakutkan penumpang walaupun kita rasa ianya hebat bahkan walaupun penumpang kagum dan suka, tak bererti mereka akan berikan 5 bintang! Apatah lagi memandu melebihi had laju kebangsaan. Memang benar, ada penumpang menyuruh memandu laju kerana tergesa-gesa. Abaikan suruhan mereka kerana mereka tidak akan memberikan 5 bintang dengan kelajuan gila itu. Percayalah kata-kata saya ini.


TELEMATIK
Di sebabkan ada faktor cara pemanduan berbahaya, maka beberapa ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan oleh Grab. Antaranya, memperkenalkan fungi butang panggilan kecemasan untuk aplikasi penumpang, memperkenalkan program Dashcam pada pemandu melalui program Grab All Star serta Telematik. Apakah itu telematik?

Program telematik Grab adalah gabungan pembelajaran mesin dan analisis ramalan yang mengenalpasti tabiat pemanduan yang tidak selamat seperti kelajuan, membrek dan kelajuan mendadak atau mengejut. Ia sedikit sebanyak mendidik pemandu tentang cara untuk meningkatkan pengalaman memandu ke arah yang lebih baik dan sempurna. Pemandu akan menerima ringkasan mingguan mengenai prestasi pemanduan mereka setiap hari Isnin atau Selasa untuk rujukan dan penambah baikkan cara pemandu pada minggu selanjutnya. Program yang dilancarkan  telah menerima keputusan yang sangat menggalakkan untuk membantu meningkatkan keselamatan jalan raya di kalangan pemandu. Mereka mula menyedari cara pemanduan mereka belum sempurna.

Telematik ibarat kotak hitam. Tidak akan kena saman jika melebihi had laju kerana telematik bukan dihubungkan kepada PDRM atau JPJ. Cuma, ia menjadi bahan bukti cara pemanduan kita setiap kali ada laporan dari penumpang. Sebelum Grab menuduh pemandu itu bersalah, mereka melakukan semakan dahulu ke atas telematik. Jika padan dengan tarikh kejadian, kita akan dipersalahkan. Ya, seperti kotak hitam di dalam bas, jika berlaku kemalangan dan didapati pemandu bas memang memandu secara merbahaya, pemandu bas akan didakwa di mahkamah.

Mungkin ada yang pernah tertanya, kenapa ada sahabat kita sewaktu memandu Grab, mendapat dua tiga saman kelajuan tetapi tidak kena sekat akaun pemandu grab? Sedangkan kita baru sahaja satu saman kelajuan, terus disekat! Ya, jawapannya ada dalam telematik juga. Ia padan dengan tarikh kejadian. Sebab itulah amat jarang sekali polis trafik dan JPJ menyaman kenderaan yang kelajuannya melebihi had laju tetapu kurang 10km/j dari had laju tersebut. Ini kerana, faktor angin memainkan peranan yang menjadikan kelajuan asal tersasar sebagaimana atlet pecut dunia 100m kerap dianggap tidak layak untuk memecahkan rekod dunia apabila faktor angin ketika itu diambil kira. Jika disaman juga tetapi dalam sistem telematik tidak membuktikan kelajuan tersebut, maka Grab akan mengabaikan saman itu. Tetapi, kenalag langsaikan hutang saman itu juga sebab ia melibatkan merit dan rekod kesalahan JPJ/PDRM. Jangan terhantuk, barulah terngadah.

Penerangan telematik ini bukanlah secara detil. Ia lebih kepada penerangan secara umum sahaja. Ini adalah ulasan saya dan tiada kena mengena dengan Grab. Ia mungkin bercanggah dari pemahaman saya. Grab On!

No comments:

Post a Comment